Mata-mata penuh kebencian,amarah dan curiga memincing pada jasad Baginda. Tidak sekadar itu, dibaling pula dengan batu- batu yang keras, itupun setelah mereka berkumpul di sekeliling, dan menolak-nolak Baginda.

Tiada sedikit pun cercaan daripada Baginda tatkala batu-batu yang dibaling singgah pada kepala, badan dan kaki Baginda. Lebih memilukan, darah merah mengalir kesan luka akibat dibaling batu. Agaknya, mereka bangga dapat melakukan perkara sekeji itu. Syukur, Zaid menahan batu yang dilempar kepada mereka.

Dan itulah sejarah bagaimana Baginda diheret keluar dari Bustan at-Thaqif (taman Thaqif)

Baginda rasulullah memegang tangan Zaid dan bertanyakan keadaannya ketika mereka singgah di kebun milik Uqbah bin Rabi’ah. Seperti dijangka Zaid lebih risaukan Baginda berbanding diri sendiri. Ketika bersandar pada batu, baginda mengadu kepada Allah.

“Ya Allah! KepadaMu aku mengadu kelemahanku, kurangnya kesanggupanku dan ketidakmampuanku berhadapan dengan manusia. Wahai zat yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang. Engkaulah pelindung bagi kaum yang lemah ini dan Engkaulah pelindungku. Kepada siapa diriku hendak Engkau serahkan? Jika Kau tidak murka kepadaku semua itu tidakku hiraukan kerana sungguh besar nikmat yang telah Kau limpahkan
kepadaku.

Aku berlindung dengan sinar cahaya wajahMu yang menerangi kegelapan dan mendatangkan kebaikan di dunia serta di akhirat, dari murkaMu yang hendak kau turunkan kepadaku. Hanya Engkaulah yang berhak menegurku dan menyalahkanku hingga Kau perkenankan. Sungguh, tiada daya pun selain daripadaMu.”

Menarik bukan, kisah di atas. Itulah Rasulullah. Baginda adalah Baginda, walau taufan melanda sekali pun. Seorang pemimpin yang tak terkesan dengan apa jua halangan. Baginda sentiasa menyayangi, berlembut dan mengasihi umatnya.
Mampukah kita seperti Baginda? Pasti, ramai yang jawab tidak.

Persoalannya mahukah kita mencontohi sifat Rasulullah. Jika jawapan kita adalah ‘ya’, maka berhentilah memberi seribu satu sebab mengapa kita tidak mampu. Sebaliknya carilah seribu satu sebab mengapa kita perlu mencontohi Baginda.

Kesabaran itu ibarat kepala. Hilang kepala, melayanglah badan.

Sharing is caring!



Leave a Reply


SIGN INTO YOUR ACCOUNT CREATE NEW ACCOUNT

Your privacy is important to us and we will never rent or sell your information.

×
CREATE ACCOUNT ALREADY HAVE AN ACCOUNT?

 
×
FORGOT YOUR DETAILS?
×

Go up