Sesetengah pakar motivasi, berpendapat memulakan hari dengan membaca akhbar atau menonton berita hanya akan membangkitkan prasangka negetif. Kenapa?

Kerana di awal pagi otak masih segar dan bersedia untuk hari-hari yang mengujakan. Bilamana hari dimulakan dengan akhbar, kebanyakan dari kita sudah menempah tiket kemudaratan. Bukanlah tidak boleh membaca akhbar di awal pagi, cuma sebahagian dari kita yang emosinya sudah separuh rosak, akan bertambah rosak bila membaca kisah-kisah negetif yang dipapar. Kisah pembunuhan,rogol,kecurian,kejatuhan ekonomi dan sebagainya. Secara tidak langsung prasangka negetif akan lebih subur. Lebih bagus kalau berita-berita negetif dibaca atau ditonton di sebelah petang atau selepas Zohor. Di sebelah pagi, belek dan bacalah kisah kejayaan dan kegembiraan orang lain. Atau tips-tips berguna untuk kerjaya dan rumahtangga.

Berbalik pada prasangka negetif. Perasaan ini semakin hari semakin mendominasi emosi,  seiring pertambahan usia kita. Percaya atau tidak, di suatu tahap prasangka ini sudah menjadi pegangan dalam membuat keputusan.

Saya kisahkan suatu cerita.

Seorang remaja lelaki menunggang motosikal di sebatang jalan lengang. Oleh kerana  dia melalui jalan kampung, jadi dia hanya menunggang 40km/jam. Perlahan dan penuh  hati-hati. Dari jauh dia melihat sebuah van menurunkan seorang kanak-kanak perempuan. Dia tahu yang kanak-kanak itu mahu menyeberang jalan. Makin diperlahankan motosikalnya. Tetapi kanak-kanak itu tetap tidak melintas. Jadi dia fikir, mungkin kanak-kanak itu menunggu ibunya datang menjemput. Tetap, diperlahankan motosikal kerana dia tahu kanak-kanak sukar dijangka. Dan bila motosikal hanya beberapa langkah dari kedudukan kanak-kanak itu, sesuatu tak diduga berlaku. Kanak-kanak itu melintas sepantas kilat. Syukurlah remaja lelaki itu merebahkan motosikalnya. Kesanya, remaja itu cedera dan kanak-kanak itu selamat tanpa secalit calar. Kerana terkejut kanak-kanak itu menjerit dan menangis. Ramai yang berkerumun dan menyalahkan remaja lelaki yang dianggap memandu laju. Remaja itu cuba memberitahu kebenaran,tetapi disangkal ibu kanak-kanak itu. Bagi ibu kanak-kanak itu, remaja lelaki kalau dah dapat motorsikal, adalah mat rempit.

Dan, itulah, yang rata-rata bermain di fikiran ramai orang.

Dalam tumbuh membesar, remaja lelaki itu beranggapan kanak-kanak adalah makhluk memualkan. Dan  ibu kanak-kanak itu adalah syaitan betina dari neraka.

Seperti biasa remaja lelaki itu ke kedai runcit. Dia sering ke situ. Dia suka melihat kegigihan seorang wanita tua yang menghabisan masanya memarut dan memerah santan. Wanita itu adalah pekerja di kedai runcit tersebut. Kadang-kadang tak menang tangan wanita itu dibuatnya. Tambah-tambah jika musim perayaan. Wanita itu berkulit gelap, berwajah tirus dengan mata layu. Mulutnya jatuh seperti orang yang mahu menangis. Bajunya adalah semurah-murah kain yang remaja lelaki  pernah lihat di toko-toko kain.

Namun, remaja lelaki itu tidak gemarkan seorang kanak-kanak yang selalu bermain berhampiran kedai. Tawa kanak-kanak itu adalah melodi paling membosankan di pendengaran remaja itu. Tambahan dia selalu berharap yang kanak-kanak tersebut akan dilanggar kereta, memandangkan kanak-kanak itu bermain di pinggir jalan. Dia berharap tidak akan wujud lagi pemandu yang berbudi sepertinya. Semua itu merugikan.

Takdir Allah, hari itu sebuah kereta meluncur laju. Dari arah bertentangan datang motosikal. Kedua-duanya hampir bertembung. Pemandu kereta  yang  seolah-olah  sedang memandu di Litar Sepang, melibas kereta ke sisi. Hampir-hampir meragut nyawa kanak-kanak yang di benci remaja lelaki tersebut. Seorang wanita yang kebetulan di situ menjerit terkejut. Satu perasaan gembira menghambur keluar dari dada remaja lelaki. Dia berkata keras. Lantang, hingga didengari pelanggan yang lain.

“Padan Muka. Main sangat tepi jalan. Agaknya, bila mati kena langgar, baru mak bapak dia reti nak jaga anak sendiri.”

Puas…Puas…Dan puas. Itulah yang dirasa remaja itu. Bagaikan dendam kepada kanak-kanak terdahulu hampir terbayar.

Tanpa dia sedar, wanita yang dikaguminya meluru memeluk kanak-kanak itu. Dicium bertubi-tubi anak kecil yang menangis ketakutan itu. Dia memandang remaja itu sejurus kemudian. Tanpa kata. Hanya mata sayu dan senyuman lesunya yang bersuara.

“Saya tak mampu cari pengasuh. Upah yang ada, cukup-cukup untuk guna seharian.”

Remaja itu terpana. Dia menyesali apa yang berlaku.

Sudah terbukti  betapa buruknya prasangka, bukan!

  • Ibu kepada kanak-kanak yang cuba melintas jalan berprasangka semua remaja lelaki adalah mat rempit setelah menunggang motosikal. Dan mentah-mentah disangkal kebenaran.
  • Remaja lelaki yang tertindas, merasakan yang semua kanak-kanak adalah bodoh dan jika sesuatu terjadi ibubapa mereka hanya akan menyalahkan pihak ketika. Secara automatik, ibubapa mereka adalah tidak berguna.

Boleh kita lihat emosi-emosi yang terkorban akibat prasangka negetif. Malah dalam rumahtangga juga perkara ini berlaku.Apabila prasangka mengambil alih, kewarasan sudah tidak berguna lagi. Dan bila kebenaran terungkap, penyesalan hanyalah penyesalan kerana nasi sudah menjadi bubur. Maaf boleh dipinta dan diucap berkali-kali. Tetapi mampukah luka yang tercalar sembuh dalam sekelip mata. Oleh itu bertanyalah dengan telus, nilailah dengan saksama. Jangan berpaksi pada prasangka yang ada.

Sharing is caring!



Leave a Reply


SIGN INTO YOUR ACCOUNT CREATE NEW ACCOUNT

Your privacy is important to us and we will never rent or sell your information.

×
CREATE ACCOUNT ALREADY HAVE AN ACCOUNT?

 
×
FORGOT YOUR DETAILS?
×

Go up